Skip to main content

Hubungan antara Islam dan Sosialisme (Syed Farid Alatas)

 


(Syed Farid Alatas)

Ditulis oleh Syed Farid Alatas dan disiarkan di Free Malaysia Today, bertarikh 23 September 2020

Islam tidak menentukan sistem atau aturan ekonomi politik yang seharusnya diamalkan umatnya. Yang ditentukan dan digalakkan Islam adalah suatu sistem adab dan akhlak yang seharusnya menggarisbawahi mana-mana dan setiap sistem ekonomi politik yang didirikan masyarakat Islam.

Dalam sejarah Islam, wujud pelbagai sistem ekonomi politik dari zaman Rasulullah hingga sekarang. Pada awal perkembangan masyarakat Islam di Mekah dan Madinah, sistem ekonomi politiknya terdiri daripada sekurang-kurangnya 2 jenis, iaitu sistem atau ragam pengeluaran komoditi skala kecil dan ragam pengeluaran pengembara pastoral.

Pada zaman Khilafah Uthmaniyah, Empayar Safawiyah dan Kesultanan Melaka pada zaman pra-moden, sistem ekonomi politiknya dicirikan, pada umumnya, oleh ragam pengeluaran perlungguhan.

Pada zaman sekarang pula, kebanyakan negara Islam mengamalkan sistem kapitalisme atau ragam pengeluaran kapitalis.

Pada zaman moden, dari awal abad ke-20, sesetengah sarjana dan pemikir Islam mempunyai kecenderungan terhadap sosialisme yang mereka anggap jauh lebih sehaluan dengan nilai-nilai Islam berbanding kapitalisme.

Dalam karya beliau, Islam dan Sosialisme, yang diterbitkan pada 1976, Syed Hussein Alatas mengungkapkan pendapat sosialisme itu sudah ada dalam Islam, dalam erti bahawa Islam sememangnya bersifat sosialis.

Pada umumnya, tiada pertentangan antara Islam dan sosialisme. Yang ditentang Islam ialah jenis-jenis sosialisme tertentu. Di sini kita perlu membezakan sosialisme beragama dan sosialisme tidak beragama, seperti yang dilakukan tokoh Jawa terkenal, Omar Said Tjokroaminoto, dalam karya beliau yang juga berjudul "Islam dan Sosialisme".

Omar Said banyak mengutip dari karya tokoh India, S Mushir Hosan Kidwai, yang bertajuk "Islam and Socialism" yang diterbitkan pada 1912.

Syed Hussein berkata, kita sebagai orang Islam tidak seharusnya menyangkal pandangan materialisme dialektik secara menyeluruh, tetapi hanya segi-segi tertentu yang bertentangan agama seperti fahaman materialisme dialektik mengenai asal usul dan peranan agama, relativisme akhlak dan sebagainya.

Kita dapat tambah di sini, sosialisme itu tidak seharusnya ditolak disebabkan kaitannya dengan Karl Marx, pencipta materialisme dialektik. Ramai individu dan golongan masyarakat takut dengan gagasan Marx dan Marxisme.

Padahal, bukan segala pemikiran Marx bertentangan Islam, malah banyak gagasan penting dihasilkan Marxisme yang dapat membantu kemajuan masyarakat kita.

Marx paling masyhur dengan karya penyelidikan 3 jilidnya yang berjudul "Modal" (Jer. Das Kapital). Tiada universiti terkemuka di dunia ini yang tidak mengajar teori Marx mengenai kapitalisme. 

Marx dianggap salah satu pendiri bidang sosiologi moden. Dia merupakan ahli teori masyarakat kapitalis. Sebahagian besar tulisannya bertujuan memperlihatkan asal usul, sifat dan akibat ragam pengeluaran kapitalis.

Kapitalisme dapat ditakrifkan suatu sistem di mana pekerja atau buruh menjual tenaga mereka kepada pemilik modal. Marx percaya hal itu menjelmakan hubungan eksploitasi antara pemilik modal dan kelas buruh yang tidak memiliki modal.

Melalui dasar eksploitasi, kelas buruh tidak mendapat pulangan dalam bentuk upah nilai yang mereka masukkan dalam proses pengeluaran.

Masalah utama yang diperhatikan Marx ialah tempoh panjang hari bekerja. Upah yang ditentukan pasaran buruh sedemikian rupa sehingga jumlah jam bekerja pekerja mencipta nilai ekonomi melebihi upah yang dibayar para kapitalis kepada pekerja.

Nilai lebihan inilah yang membolehkan kapitalis memperolehi keuntungan. Pengambilan nilai lebihan ini ditakrifkan sebagai eksploitasi oleh Marx.

Eksploitasi muncul daripada perbezaan antara upah yang dibayar kepada pekerja dengan nilai sebenar hasil usaha mereka.

Marx juga membincangkan keterasingan yang dialami individu dalam masyarakat kapitalis. Kemajuan teknologi menyebabkan pekerja yang melakukan pekerjaan sangat berhubungan dan bergantungan, dan tidak memungkinkan mereka mencapai potensi penuh sebagai manusia kreatif dan sensual.

Dalam masyarakat seumpama ini, manusia lebih banyak berhubung dengan mesin atau komputer berbanding sesama manusia.

Eksploitasi dan keterasingan ialah 2 penyakit utama masyarakat kapitalis moden. Menurut Marx, kelas buruh pada akhirnya akan menyedari keadaan mereka. Mereka akan memahami cara kerja sistem kapitalis. Ini bererti mereka akan memahami peranan mereka dalam penciptaan nilai, bagaimana upah ditentukan dan mereka dieksploitasi.

Kesedaran inilah yang disebut sebagai kesedaran kelas oleh Marx. Dia percaya kapitalisme pada akhirnya akan membuka laluan kepada sistem lebih adil, iaitu sosialisme. Sejarah membuktikan Marx salah.

Namun begitu, Marx memang memiliki pengaruh besar dalam masyarakat kapitalis. Selain kerja intelektualnya, Marx juga bergiat dalam gerakan kelas pekerja. Dia menubuhkan Persatuan Pekerja Antarabangsa pertama di London pada 1864.

Marx juga boleh dikatakan sumber ilham gagasan "May Day" atau Hari Buruh Antarabangsa yang jatuh pada 1 Mei di hampir seluruh dunia dan ditetapkan sebagai cuti umum.

Tarikh itu ada kaitan dengan Marx. Banyak perubahan dalam sistem kapitalisme terjadi disebabkan tekanan yang dimunculkan oleh pemikir Marxis dan gerakan kelas pekerja yang dipengaruhi gagasan Marx.

Meskipun perhatian utama Marx ialah eksploitasi kelas buruh, pemahamannya mengenai kapitalisme dapat diperluaskan ke arah mengkritik pemerintah yang merasuah dan bersifat kleptokrat. Kleptokrasi merujuk pemerintahan melalui pencurian.

Pegawai negara menyalahgunakan jabatan dan kuasa mereka untuk mengumpulkan modal serta kekayaan. Kekayaan itu digunakan untuk meningkatkan pendapatan mereka dan sebahagian daripada proses pengumpulan modal.

Eksploitasi, keterasingan dan rasuah merupakan masalah utama kebanyakan negara Islam pada zaman moden ini. Gagasan Marx dan sosialis selainnya mengetengahkan masalah ini.

Tokoh seperti Mushir Hosain, Omar Said, Hadji Misbach, Ali Shariati dan Syed Hussein menerusi tulisan mereka menunjukkan sebahagian daripada kerisauan sosialis tidak lain daripada kerisauan tokoh Islam zaman dahulu. Mereka menyeru masyarakat Islam bersungguh-sungguh memikirkan dan menggiatkan nilai sosialisme demi mencapai keadilan sosial.

Comments

Popular posts from this blog

Antara Islam, Sosialisme dan Komunisme

(sumber gambar:  https://id.wikipedia.org/wiki/Berkas:PKI-1925-Commisariate_Batavia.jpg ) Ditulis oleh Muhammad Rezeki Febriyadi, 9 Jun 2019 di Kompasiana Kejadian malam jahanam yang bertepatan pada tanggal 30 September 1965 yang dilakukan oleh Partai Komunis Indonesia (PKI) membuat bangsa Indonesia mengalami trauma sejarah yang sangat mendalam terhadap aliran Sosialisme dan Komunisme. Bahkan banyak yang menganggap aliran Sosialisme dan Komunisme ini sangat bertentangan dengan Islam. Sebenarnya sebelum kita berpikir yang tidak-tidak terhadap dua paham tersebut, seharusnya kita meneliti dahulu apa itu Sosialisme, aliran Sosialisme dan tujuan Sosialisme itu sendiri, apakah itu bertentangan dengan Islam atau tidak dan begitu pula dengan Komunisme. Kata Sosialisme berasal dari socius kata Latin yang artinya teman dan Sosialisme sendiri dapat diterjemahkan menjadi persaudaraan manusia (H. Van Der Mandere, politieke encyclopedie, 1949). Sosialisme sendiri sebenarnya pada masa sekarang

Muat Turun (PDF) Radical Islam: The Iranian Mojahedin Karya Ervand Abrahamian.

Karya Ervand Abrahamian, Radical Islam: The Iranian Mojahedin. Muat turun di  sini.