Skip to main content

Kassim Ahmad, sosialis tegar, Muslim yang tidak difahami




Oleh: Soo Wern Jun
(Disiar di FMT)
22 Jan 2018


PETALING JAYA: Ahli politik veteran, Dr Syed Husin Ali masih ingat perbualannya dengan Kassim Ahmad, ketika kedua-dua mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1970-an.

Sabtu lalu, Syed Husin mengenang semula tokoh itu pada sebuah majlis mengingati Kassim, yang meninggal dunia Oktober lalu.

Menurutnya, pandangan politik dan agama cendekiawan kontroversi itu menjadi lebih radikal ketika ditahan di bawah ISA.


Dr Syed Husin Ali (2 dari kiri) bersama panelis lain pada majlis mengenang Kassim Ahmad, di kedai buku Gerakbudaya di Petaling Jaya, pada 20 Jan, 2018.

Dr. Syed Husin Ali (2 dari kiri) bersama panelis lain pada majlis mengenang Kassim Ahmad, di kedai buku Gerakbudaya di Petaling Jaya, pada 20 Jan, 2018.


Syed Husin ditahan di pusat tahanan ISA di Kamunting, Perak, selama 6 tahun dari 1974. Kassim ditangkap kira-kira 2 tahun kemudian dan dibebaskan pada 1981, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Di Kamunting, Syed Husin dan Kassim kerap mengadakan perbincangan panjang, dan mereka juga tidak setuju antara satu sama lain mengenai pelbagai hal termasuk soal politik dan agama.

Perbualan antara kedua-dua mereka itu mula diperhatikan pihak berkuasa penjara.

“Tidak lama kemudian, mereka memisahkan kami. Mereka menyangka kami mempunyai perbincangan yang panjang dan menganggap kami sedang merancang melakukan sesuatu,” kata Syed Husin.

Mereka kemudian dipisahkan, dan diletakkan dalam sel bersebelahan. Ia tidak menghalang mereka daripada terus mengadakan perbincangan rahsia.

“Dinding sel diperbuat daripada zink, dan terdapat ruang di bawahnya. Kami terbaring di sana untuk mengadakan perbincangan melalui ruang itu,” katanya pada program yang diadakan di sebuah pejabat penerbitan buku di sini.

Antara yang turut berkongsi kenangan mereka bersama Kassim pada majlis itu ialah pakar ekonomi Jomo KS dan aktivis veteran Kongres Persatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Mohamud.

Kassim yang terkenal dengan bukunya yang diharamkan, “Hadis – Satu Penilaian Semula”, meninggal dunia pada 10 Oktober lepas pada usia 84 tahun.

Syed Husin berkata Kassim bersuara dalam mempromosikan idea sosialisnya sejak zaman pelajar di Universiti Malaya, di mana beliau aktif dalam kumpulan haluan kiri, Kelab Sosialis Universiti.

Beliau kemudiannya menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia, ketika Ahmad Boestamam menjadi presiden. Kassim pernah mencabar Boestamam untuk menerima pandangan sosialis yang lebih radikal.

Kassim dilantik sebagai presiden badan Islam universiti, dan bermulalah minat sepanjang hayatnya untuk menyelidiki Al-Quran dan Hadis.

Beliau tidak pernah merahsiakan rasa kagumnya terhadap sosialisme dan komunisme. Beliau teruja dengan falsafah komunis, termasuk karya Mao Zedong, yang mempengerusikan Parti Komunis China pada 1950-an. Ia merupakan zaman di mana gerakan pelajar di Tanah Melayu terpengaruh dengan ideologi haluan kiri.

Aktiviti dan pendirian politiknya semakin menyerlah apabila beliau menyertai School of Oriental and African Studies di Universiti London, di mana beliau menubuhkan Kelab Sosialis Pemuda Malaysia yang disertai pelajar Malaysia di luar negara.

Sekembali ke Malaysia, Kassim dan Syed Husin cuba memulihkan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), dan pandangan vokal mereka terhadap sosialisme membawa kepada penangkapan mereka.

Mengimbas kembali hari-hari mereka di Kamunting, Syed Husin berkata Kassim meningkatkan penyelidikannya terhadap Islam dan akhirnya menolak hadis sebagai sumber Islam.

Syed Husin berkata beliau tidak bersetuju dengan pendirian kontroversi itu.

Beliau juga tidak bersetuju dengan sosialisme radikal yang dipromosikan Kassim.

“Saya tidak bersetuju kerana kerajaan sudah pun menuduh kami sebagai komunis.

“Sayu lagi sebab saya tidak bersetuju adalah ahli parti tidak bersedia. Mereka tidak dapat memahami sosialisme. Bagaimana mengharapkan mereka memahami sosialisme secara lebih terperinci?”

Dalam soal agama, Syed Husin berkata, beliau percaya Kassim menolak hadis sebagai sumber perundangan kerana kewujudan hadis lemah yang menentang semangat Al-Quran.

Para ulama mengagihkan hadis dalam pelbagai kategori iaitu “sahih”, “baik”, “lemah” dan “palsu”.

Syed Husin menjelaskan penolakan Kassim itu tidak bermakna beliau tidak mengiktiraf kesahihan sesetengah hadis, sebagaimana yang dijelaskan di dalam bukunya. Tetapi ini tidak menghalang pengkritik menuduhnya sebagai “anti-hadis”.


Syed Husin berkata Kassim seorang yang sederhana dalam gaya hidupnya, dan ini menjadi masalah selepas beliau menyertai Umno pada 1986.

“Apabila orang Umno mengadakan mesyuarat, adalah perkara biasa mereka menyediakan makanan dan mereka mengadakan mesyuarat di tempat mewah. Kassim lebih suka mengadakan mesyuarat di rumahnya, dan beliau akan menghidangkan kopi tetapi tidak ada makanan.

“Dia seorang lelaki yang sangat serius, dan dia melakukan semua perkara dengan serius. Dia berharap ahli Umno bekerja keras seperti yang dilakukannya dan berdisiplin seperti dia. Pada masa itulah Umno berkata, ‘Selamat tinggal, Kassim’.”

Kassim juga seorang yang romantis, menurut Syed Husin.

Pernah sekali beliau menggunakan bakat puitisnya untuk melamar Sharifah Fauziah Alsaggof, sebelum kedua mereka mendirikan rumah tangga.

“Suatu hari dia bertemu Fauziah dan dia berkata ‘Hai!’ Dan hari itu dia pulang ke rumah dan menulis sebuah puisi dengan tema ‘Hai!’”


Kassim lebih terkenal menulis puisi bertemakan politik dan masyarakat. Satu puisi kontroversinya berjudul “Sidang Ruh”, yang ditulisnya pada 1960 berakhir dengan petikan “Dan Tuhan sudah mati”.

Syed Husin berkata adalah sedih kerana umat Islam Malaysia sebahagian besarnya mempunyai persepsi negatif terhadap Kassim sehingga ke hari kematiannya.

Beliau berkata walaupun sebuah surau bersetuju mengadakan solat jenazah untuk Kassim, beliau bimbang pihak berkuasa Islam mungkin tidak membenarkan pengebumiannya di tanah perkuburuan Islam kerana menganggap Kassim murtad.


“Syukurlah ia tidak berlaku,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Antara Islam, Sosialisme dan Komunisme

(sumber gambar:  https://id.wikipedia.org/wiki/Berkas:PKI-1925-Commisariate_Batavia.jpg ) Ditulis oleh Muhammad Rezeki Febriyadi, 9 Jun 2019 di Kompasiana Kejadian malam jahanam yang bertepatan pada tanggal 30 September 1965 yang dilakukan oleh Partai Komunis Indonesia (PKI) membuat bangsa Indonesia mengalami trauma sejarah yang sangat mendalam terhadap aliran Sosialisme dan Komunisme. Bahkan banyak yang menganggap aliran Sosialisme dan Komunisme ini sangat bertentangan dengan Islam. Sebenarnya sebelum kita berpikir yang tidak-tidak terhadap dua paham tersebut, seharusnya kita meneliti dahulu apa itu Sosialisme, aliran Sosialisme dan tujuan Sosialisme itu sendiri, apakah itu bertentangan dengan Islam atau tidak dan begitu pula dengan Komunisme. Kata Sosialisme berasal dari socius kata Latin yang artinya teman dan Sosialisme sendiri dapat diterjemahkan menjadi persaudaraan manusia (H. Van Der Mandere, politieke encyclopedie, 1949). Sosialisme sendiri sebenarnya pada masa sekarang

Hubungan antara Islam dan Sosialisme (Syed Farid Alatas)

  (Syed Farid Alatas) Ditulis oleh Syed Farid Alatas dan disiarkan di Free Malaysia Today, bertarikh 23 September 2020 Islam tidak menentukan sistem atau aturan ekonomi politik yang seharusnya diamalkan umatnya. Yang ditentukan dan digalakkan Islam adalah suatu sistem adab dan akhlak yang seharusnya menggarisbawahi mana-mana dan setiap sistem ekonomi politik yang didirikan masyarakat Islam. Dalam sejarah Islam, wujud pelbagai sistem ekonomi politik dari zaman Rasulullah hingga sekarang. Pada awal perkembangan masyarakat Islam di Mekah dan Madinah, sistem ekonomi politiknya terdiri daripada sekurang-kurangnya 2 jenis, iaitu sistem atau ragam pengeluaran komoditi skala kecil dan ragam pengeluaran pengembara pastoral. Pada zaman Khilafah Uthmaniyah, Empayar Safawiyah dan Kesultanan Melaka pada zaman pra-moden, sistem ekonomi politiknya dicirikan, pada umumnya, oleh ragam pengeluaran perlungguhan. Pada zaman sekarang pula, kebanyakan negara Islam mengamalkan sistem kapitalisme atau ragam p